Sunday, August 16, 2009

Kenali Postur Badan Anda


BENTUK badan atau postur memang berkait rapat dengan masalah sistem otot dan tulang atau sistemmusculoskeletal Anda mungkin pernah mengalami sakit leher apabila bangun dari tidur, sakit bahagian belakang selepas anda duduk lama di depan komputer atau selepas melakukan kerja-kerja harian seperti menyapu, memasak atau memandu kereta.

Anda mungkin mengalami sakit bahu selepas melakukan aktiviti sukan seperti bermain golf. Anda juga boleh mengalami sakit di semua sendi anggota badan sebaik sahaja menamatkan hari bekerja seperti sakit sendi siku, sakit bahagian ibu jari seperti sindrom De Quarvain, sakit sendi lutut, sakit kaki dan sakit bahagian badan yang lain.


Sakit sistem musculoskeletal ini biasanya disebabkan oleh postur badan yang tidak normal yang berpunca daripada:



- Kecederaan atau penyakit seperti kelumpuhan, patah tulang, penyakit sistem otot seperti Myasthenia Gravis, penyakit sistem saraf seperti poliomyelitis dan sebagainya.
- Tabiat dan gaya badan (ergonomik) yang tidak baik semasa melakukan fungsi harian seperti duduk, berdiri dan mengangkat yang tidak betul dan dilakukan secara berterusan.
- Bentuk fizikal dan berat badan yang tidak normal seperti berat badan berlebihan atau gemuk.
- Fesyen dan pemakaian kasut yang tidak baik seperti memakai kasut bertumit tinggi, pakaian yang ketat dan tidak selesa yang boleh menyebabkan anda terpaksa mengubah bentuk dan gaya badan bagi menyesuaikan diri dengan fesyen yang dipakai.
- Lahir dengan kecacatan dan sebagainya.


Cara elak sakit belakang


Bagi mengelakkan anda mengalami sakit, anda perlu tahu untuk menilai postur badan yang normal dalam keadaan berdiri, duduk atau semasa melakukan kerja-kerja seharian. Sebagai asasnya postur badan akan menjadi normal jika sekiranya anda mampu membayangkan dan meletakkan anggota-anggota badan berada di tempatnya dengan kesan daya luaran yang minimum seperti daya graviti atau daya tindakbalas bumi.



Anda boleh melakukannya di hadapan cermin dan memastikan daya graviti berada di garisan tengah badan dan daya tindakbalas bumi berada di keseluruhan tapak kaki semasa melakukan aktiviti harian.



Garisan tulang belakang mestilah berada selari atau rapat kepada garisan tengah badan. Garisan tengah sendi hendaklah selari dengan bumi atau sedikit condong ke hadapan bagi membolehkan berat badan disebarkan sama rata keseluruhan permukaan sendi.



Garisan tengah kaki mestilah selari atau rapat dengan garisan tengah badan bagi membolehkan berat badan disebarkan secara sama rata keseluruhan bahagian anggota kaki iaitu sendi pinggul, tulang paha, sendi lutut, tulang kaki, sendi pergelangan kaki dan tapak kaki.



Lagi jauh garisan-garisan ini dari garisan tengah badan, akan lebih lagilah kesan daya-daya luaran akan bertindak ke atas sistem musculoskeletal ini dan akan menghasilkan sakit-sakit yang mungkin tidak akan dapat dilegakan dengan pengambilan ubat-ubat penahan sakit.
Kesan daya ini akan memberikan lagi kesan sakit apabila anda melakukan aktiviti harian anda dengan postur badan anda yang tidak betul.



Jadi langkah-langkah berikut boleh diambil untuk mengelakkan sakit di bahagian badan anda iaitu:



*Pastikan anda membayangkan diri anda tinggi semasa berdiri, duduk atau semasa aktiviti harian.
*Pastikan telinga, leher, bahu, pinggang, lutut dan pergelangan kaki berada di garisan tengah badan dengan mempraktikkannya di hadapan cermin. Gambarkan postur normal ini di kotak fikiran anda dan mempraktikkannya sebilangan masa dalam apa jua keadaan.
*Pastikan lengkungan normal pada tulang belakang atas dan tulang belakang bawah anda tidak terlalu bongkok, tonggek atau leper.
*Sentiasa melakukan senaman postur badan di bawah pengawasan ahli fisioterapi anda bagi mengekalkan sistem otot anda mengawal dan mengekalkan postur badan berada dalam keadaan yang normal.
*Lakukan aktiviti harian dengan gaya badan yang betul.
*Sentiasalah bangga dengan diri anda sendiri kerana kognitif dan keyakinan anda juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan postur badan yang normal.
Justeru itu, anda sendiri boleh mengelakkan diri daripada mendapat kesakitan diseluruh badan jika sekiranya anda mengenali postur badan yang normal.



(Petikan artikel daripada Utusan Online)



Diri Kita Tanggungjawab Kita

http://www.badanlangsing.com/

Dapatkan herba-herba untuk kesihatan wanita dan lelaki di sini

0 comments:

 
Ini merupakan blog persendirian BadanLangsing.com - Segala penulisan berdasarkan pengalaman, pemerhatian, pembacaan dan pandangan peribadi penulis. Sila layari web BadanLangsing.com untuk mendapatkan produk-produk kecantikan dan kesihatan.

©2007-2009 Blog BadanLangsing.com | BadanLangsing.com