Menurut Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Ryan Ponnudurai, hati berlemak turut dikenali sebagai FLD, hepatosis steatorea atau hepatitis steatosis.
Ia merupakan satu keadaan di mana sejumlah besar membran lemak tepu berkumpul di dalam sel hati melalui proses steatosis.
Hati berlemak terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu hati berlemak biasa (steatosis), dan hati berlemak berkaitan dengan keradangan (steatohepatitis).
"Secara asas, penyakit ini timbul akibat pengambilan alkohol terutama di negara Barat. Namun, keadaan semakin berubah. Kini, kes berkaitan hati berlemak tanpa kehadiran alkohol (NAFLD) semakin meningkat," ujarnya.
Perubahan pada enzim hati secara abnormal yang seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan metabolisma menjurus kepada masalah hati berlemak.
GAMBARAN sebenar keadaan hati yang mempunyai lemak yang dilihat menerusi imbasan.
Tanpa simptom yang khusus, penyakit itu lazimnya menyerang mereka yang berumur 40 tahun ke atas selain penghidap obesiti atau diabetes.
"Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya. Disebabkan penyakit ini berkaitan dengan sindrom metabolik (diabetes, tekanan melampau serta obesiti), pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.
"Hanya dengan melakukan ujian ultra bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak," tegasnya yang turut menjelaskan tiada satu kaedah rawatan bagi penyakit ini.
Menyerang wanita hamil
Tambahnya, progres steatohepatitis mampu menyebabkan fibrosis hati dan sirosis. Akibatnya, ia meningkatkan risiko kematian terhadap penghidapnya.
Selain itu, fibrosis atau sirosis di dalam hati dihadapi oleh antara 15 hingga 50 peratus pesakit hati berlemak tanpa alkohol steatohepatitis (NASH).
|
DR. RYAN PONNUDURAI
|
Ryan menegaskan, hanya dengan menjalani cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur mampu mengelakkan penularan penyakit itu.
Ryan turut menjelaskan, penyakit hati berlemak itu juga merupakan punca kepada gagalnya pemindahan hati dilakukan.
"Sejak lima tahun lepas, kebanyakan pakar bedah mengalami masalah dalam melakukan pemindahan hati walaupun mempunyai ramai penderma.
"Sebabnya, apabila diperiksa keadaan hati penderma, ramai antara mereka tidak menyedari mempunyai hati berlemak," ungkapnya.
Ryan berkata, penyakit itu turut menyerang wanita hamil, terutama ketika kandungan berada di peringkat trisemester akhir.
Namun jelasnya, bagi wanita hamil, ia akan hilang selepas bersalin sama seperti mereka mengalami darah tinggi dan kencing manis ketika tempoh kehamilan.
Bukan itu saja, Ryan memberitahu bahawa penurunan berat badan secara mendadak turut mengundang kepada kewujudan hati berlemak itu.
"Kerana risiko ini, mereka yang ingin mengurangkan berat badan disaran agar melakukannya secara berperingkat," tegasnya.
Sumber dari KOSMO! Online